BAHAYA BATUK KOKOL



Bahaya Batuk Kokol Terutamanya Di Kalangan Bayi

Jangan ambil ringan sekiranya anak anda diserang penyakit batuk kokol. Tanpa rawatan yang betul, maut mungkin boleh menjadi noktah akhir penderitaan batuk anak anda.

SEMUA orang pernah batuk. Kita batuk kerana sakit tekak, debu, asap rokok, selesema, jangkitan pada saluran pernafasan atau atas banyak lagi sebab. Oleh kerana itu kebanyakan kita sering menganggap batuk adalah sesuatu yang biasa dalam kehidupan seharian.

Namun, ramai yang tidak sedar ada beberapa jenis batuk yang jika tidak disusuli dengan rawatan boleh mengundang maut terutamanya jika ia menyerang kanak-kanak atau bayi.

Salah satu jenis batuk yang wajar menjadi perhatian ibu bapa ialah batuk kokol atau disebut juga whooping cough.

Berpunca daripada sejenis bakteria bordetella pertussis lazimnya batuk kokol akan bermula dengan sindrom selesema biasa yang disertai batuk. Sebelum ia disahkan sebagai batuk kokol, anak anda akan diserang batuk yang lebih teruk hingga menyebabkan dia sukar bernafas.

Untuk mengesan lagi keadaan itu, anda akan terdengar bunyi whoop ketika anak itu sedang menarik nafas. Keadaan ini berbahaya untuk bayi hingga boleh membawa maut kerana bayi tidak tahu membuang lendiran yang menyekat pernafasan dan menyedut udara.

Kerana itu, kematian disebabkan batuk kokol pernah dicatatkan sebelum ini terutamanya di negara-negara miskin seperti benua Afrika. Malah, jika batuk kokol dalam kalangan bayi dan kanak-kanak tidak diatasi segera sebanyak 20 peratus daripada mereka biasanya mendapat radang paru-paru (pneumonia).

Adakalanya selepas kerap batuk, anak akan muntah. Lebih malang lagi, keadaan itu boleh berlanjutan sehingga lebih dua bulan. Justeru, bagi mengelak anak daripada terkena jangkitan kedua selepas batuk kokol, pastikan anak anda mendapatkan suntikan imun daripada doktor untuk penyakit berjangkit itu.

Tindakan segera

Untuk perhatian ibu bapa juga, jika anda mengesyaki anak anda menghidap batuk kokol, jangan biar dia pergi ke sekolah atau tadika sebelum membawanya berjumpa doktor terlebih dahulu.

Sementara mendapatkan rawatan daripada doktor, ketika anak anda mengalami serangan batuk yang berterusan, dudukkan anak dan pegang anak supaya badannya menjengah sedikit ke depan.

Pastikan mangkuk yang disediakan untuk memudahkan anak muntah itu dekat dengan mulut supaya tidak berlaku jangkitan terhadap kanak-kanak lain.

Selain itu, jika anak anda muntah selepas serangan batuk, beri dia sedikit makanan dan minuman. Ini akan mengembalikan semula tenaganya.

Ini kerana, ketika anak anda sedang menghidap penyakit itu dia akan mudah letih. Selain itu, jangan biarkan anak anda bergerak lebih aktif kerana ia mungkin akan memudaratkan kesihatannya.

Rawatan untuk jangkitan itu adalah dengan memberi antibiotik. Biasanya pegawai perubatan akan menyediakan dos itu mengikut keperluan anak yang sedang dijangkiti.

Namun, diagnosis batuk kokol sukar dilakukan semasa peringkat permulaan jangkitan walaupun hakikatnya ubat yang perlu diambil lebih berkesan jika diambil pada peringkat awal.

Selain itu, jangan beri anak anda sebarang ubat batuk tanpa nasihat doktor.

Selain ubat, doktor mungkin akan melakukan sapuan tekak untuk membuat diagnosis batuk kokol kerana bayi jarang sekali menghasilkan bunyi whoop.

Doktor akan melakukan pemeriksaan dari semasa ke semasa dan jika penyakit itu masih teruk, pakar perubatan akan mengesyorkan bayi dimasukkan ke hospital untuk mengelak berlakunya penyahhidratan.


Sumber : Kosmo Online

SET KHAS IBU MENGANDUNG / BERSALIN / BERPANTANG


Assalamualaikum kepada semua terutamanya para2 ibu dan bapa yang sedang excited menanti kelahiran cahaya mata ataupun yang sedang gembira menerima kunjungan orang baru dalam keluarga. Noor hari ni nak berkongsi sedikit pasal keperluan vitamin bagi para2 ibu yang sedang hamil ataupun sedang berpantang. Noor baru dapat cahaya mata pada bulan ogos 2012 yang lalu. Bila dah bersalin, macam2 pulak petua dan nasihat yang pasti anda semua juga akan terima dari rakan2 ataupun ahli keluarga yang dah mempunyai pengalaman selepas bersalin.

Pada pandangan Noor, dalam zaman moden ni, masih ramai lagi di luar sana yang mengamalkan petua2 tradisional terutamanya selepas bersalin yakni waktu berpantang. Gamat, anak haruan, bertungku mmg antara perkara wajib dilalui untuk mengembalikan kesihatan tubuh badan. Jadi hari ni Noor nak kongsi info tentang vitamin yang kembali hangat diperkatakan iaitu Shaklee.

Shaklee nie produk berasaskan herba dan 100% bebas racun. Halal juga diiktiraf di peringkat antarabangsa dan Jakim. Banyak produk2 keluaran Shaklee nie tapi Noor takde lah nak cerita panjang sgt. Korang boleh dapatkan info seterusnya di blog rakan saya ( klik sini ). Cawangan dia bukan seluruh Malaysia tau. Noor pun beli secara online. Bila dah puas hati, Noor pulak jadi ejen supaya rakan2 terdekat boleh beli dengan harga murah ( Noor tolong beli guna harga ahli ) .. So kalau dah baca info kat blog rakan Noor tu, jangan la malu2 utk call Noor dan order produk tersebut yer..   :)

SENAMAN DAN SAKIT BELAKANG


Sakit belakang terutamanya tulang dan pinggang tidak boleh dijadikan alasan untuk kita tidak bersenam. Hal tersebut tidak pernah membataskan seseorang itu untuk terus bersenam agar badan sentiasa sihat dan cergas.

Senaman kardio membolehkan anda membakar lemak pada badan sekaligus meningkatkan keupayaan kardiovaskular. Tetapi, senaman ini berisiko tinggi yang akan memberi kesan kepada otot, ligament dan sendi individu tersebut. Hentakan kaki pada permukaan tanah menjadikan impak hentakan itu terasa pada tulang belakang seseorang individu. Mereka yang mudah mengalami sakit belakang disarankan tidak melakukan aktiviti yang memudaratkan tulang belakang anda kerana bahagian tulang belakang adalah bahagian yang mudah rapuh. Jika anda seorang yang suka melakukan senaman walaupun anda mengalami sakit tulang belakang, pilihlah senaman yang berimpak rendah yang boleh melindungi sakit belakang itu daripada terus berlarutan.

Berjalan

Aktiviti berjalan kaki merupakan senaman yang mudah berbanding jogging dan berlari. Berjalan menaikkan kadar dengupan dan mengimbangi berat anda secara sihat. Seseorang individu yang berjalan akan dapat meregangkan otot, memulihkan sendi, menaikkan kadar pernafasan dan pada masa yang sama mengeluarkan peluh. Jika berjalan laju memberi kesan yang banyak kepada tulang belakang, perlahankan sedikit dan berjalan secara mendaki untuk menaikkan kadar degupan dan yang paling penting, pernafasan anda haruslah betul supaya supaya tulang belakang dapat dilindungi.


Terapi berasaskan air

Sebarang senaman yang melibatkan aktiviti dalam air bukan sahaja melindungi tulang belakang malah berupaya membetulkan struktur tulang tersebut. Senaman dalam air menghasilkan rintangan seluruh badan tanpa kesan impak yang kuat. Berjalan, menari atau berenang dalam air tentu menyeronokkan.


Plank

Plank merupakan posisi di atas lantai seakan tekan tubi tetapi secara statik yang mengunakan keupayaan imbangan otot badan. Senaman ini menguatkan otot teras yang menyokong tulang belakang sekaligus meredakan sakit tersebut. Haruslah diingatkan bahawa, semasa melakukan plank, posisi belakang anda hendaklah mendatar dan pernafasan yang betul bagi menghasilkan kesan kepada otot teras. Walaubagaimanapun, sebarang aktiviti yang melibatkan tulang belakang dan ketika sakit tulang belakang hendaklah mendapat nasihat khidmat doktor ataupun pakar bagi mengelakkan kemudaratan yang berpanjangan kepada anda. Jika disarankan untuk berehat, maka berehatlah dan jaga pemakanan.

CARA JAGA BADAN LEPAS BERSALIN

Masalah berat badan dan bentuk badan berubah selepas melahirkan bayi adalah perkara biasa. Bagaimanakah saya boleh mengurangkan berat badan dengan selamat selepas bersalin?

Bukan semua wanita bertuah mendapat kembali berat dan bentuk badan asal mereka. Sebelum membuat keputusan untuk mengikuti sebarang proses diet bagi mengembalikan semula badan yang langsing dan cergas, fahami terlebih dahulu apa yang boleh dan tidak boleh.

Sebaiknya tunggulah lebih kurang enam minggu selepas melahirkan bayi sebelum anda berfikir mengenai proses menguruskan badan. Ingatlah bahawa perubahan bentuk badan tetap berlaku sepanjang kehamilan.

Justeru kebanyakan wanita menghadapi kesukaran untuk kembali kepada berat badan sebelum hamil. Namun ia bukanlah satu yang mustahil asalkan anda berdisiplin dan bercita-cita tinggi untuk mencapai impian tersebut.

Tempoh kehamilan selama sembilan bulan dicampur dengan proses pelahiran bayi yang memenatkan pasti memerlukan seorang ibu memulihkan kembali tenaga yang hilang. Oleh itu jangan terus lakukan sebarang senaman berat seperti yang biasa anda lakukan ketika belum hamil.

Badan anda masih dalam tempoh pemulihan. Ada boleh memulakan dengan membuat beberapa senaman ringan sebagai pemanas badan. Antara yang mudah dilakukan seperti berjalan, senaman lantai pelvis dan regangan. Lakukan ia apabila badan memberi isyarat sudah bersedia untuk melakukannya.

Diet yang berkhasiat dan pelbagai akan mempercepatkan proses pemulihan selepas bersalin, dan membantu anda menghadapi cabaran sebagai seorang ibu baru. Samada anda memberi bayi anda susu badan atau susu formula, anda harus mensasarkan untuk mengamalkan diet yang sihat.

Dapatkan garis panduan yang diiktiraf pakar diet dalam membantu anda mencapai dan mengekalkan berat badan yang sihat:

· Jangan abaikan sarapan pagi

· Makan sekurang-kurangnya lima hidangan buah-buahan dan sayur-sayuran setiap hari

· Masukkan menu makanan berserat tinggi seperti oat, kekacang, lentil, bijirin dan biji-bijian dalam diet anda

· Pastikan hidangan makanan anda mengandungi makanan berkanji seperti roti, nasi dan pasta (lebih baik jika bijian penuh untuk menambah serat)

· Kurangkan makanan bergoreng, makanan segera, konfeksi, kek dan minuman bergas, yang mempunyai kandungan lemak dan gula yang tinggi

· Kawal saiz hidangan pada waktu makan dan jenis snek serta kekerapan anda mengambilnya di antara waktu makan.

Berusahalah tanpa jemu dan jangan berputus asa. Biarpun sukar untuk mengurangkan berat badan selepas bersalin, tetapi penting bagi anda untuk melakukannya. Tetapi ingatlah perlu menjaga kesihatan dan jangan secara drastik.

Benarkah menyusukan bayi boleh kurus?

Sebelum memikirkan tentang badan yang boleh kurus dengan menyusukan bayi, penting untuk diketahui bahawa apabila menyusu, badan ibu memerlukan tenaga untuk menghasilkan susu.

Sebanyak 300 hingga 500 kalori diperlukan oleh tubuh badan si ibu yang menyusu bayi.

Walau bagaimanapun, sebilangan tenaga tambahan yang diperlukan ini akan diperolehi daripada simpanan lemak sedia ada.

Ini bermakna, menyusu badan boleh membantu anda mengurangkan berat badan. Ini adalah cara yang selamat untuk mengurangkan berat badan dan ia tidak mengganggu kualiti atau bekalan susu anda.

Bilakah saya boleh dapat kembali berat badan normal?

Amalan pemakanan berkhasiat sepatutnyamenjadi amalan setiap wanita tidak kira semasa belum hamil mahu pun sepanjang kehamilan. Hakikatnya anda mungkin perlu beberapa bulan sahaja untuk mengembalikan kesemua nutrien yang telah digunakan oleh bayi anda untuk membesar dan berkembang.

Namun demikian, sekiranya anda mengalami situasi di luar kawalan sepanjang hamil seperti mabuk kehamilan, alah dengan sesuatu makanan atau lain-lain masalah menyebabkan amalan pemakanan menjadi tidak teratur, maka proses mengembalikan berat badan asal mengambil masa yang lama, sekitar setahun atau lebih.

Sebenarnya tidak perlu terlalu stres memikirkan apa kata orang tentang bentuk badan yang sudah berubah. Lalui ia dengan tenang kerana ingatlah, anda anda baru sahaja menyelesaikan tugasan berat yang mengambil segala tenaga dan nutrisi daripada badan anda.

Asalkan anda mengamalkan pemakanan sihat dan berkhasiat, bersenam, menyusukan bayi dan menikmati pengalaman bergelar ibu dengan gembira secara automatik anda memberi masa kepada tubuh badan untuk kembali kepada bentuk asal secara sihat.

KEJANG SEMASA MENGANDUNG



Kejang biasa terjadi kepada ibu hamil dan juga orang biasa, tetapi kalau dah selalu sangat seksa pulak jadinya, sebaik2 nya janganlah dibiarkan ia berpanjangan


Menurut Dr.Dewi Prabarini Spog dari Brawijaya Women and Children hospital, Cramp boleh terjadi dikaki, tangan dan juga perut, Cramp di tangan atau kaki biasanya terjadi kerana pertambahan berat badan siibu, maka berlakulah pertambahan cairan di badan, manakala cramp diperut pula akibat kekurangan oksigen dimana aliran darah menjadi tidak lancar.

cara mengatasi

1.Kurangkan makanan tinggi garam

2.Tuam dengan air hangat dan sapu krim panas

3.Banyakkan makanan yg mengandungi kalsium dan Vitamin B

Meskipun gejala cramp ini sering terjadi pada trimester ketiga, ia juga boleh terjadi semasa trimester pertama dan kedua,tetapi jika sering terjadi cramp diperut semasa usia kehamilan kurang 20 minggu ,menandakan adanya gangguan terhadap janin.jangan diamkan diri cepat dapatkan nasihat doktor.

Semoga anda sihat selalu dan dapat melahirkan bayi yg sihat, comel dan cergasss :)

TIPS HAMIL KEMBAR



Siapa pun pasti akan geram melihat sepasang anak kembar yang comel dan mungil. Rasa bertuah diri dengan kurniaan itu. Tetapi tahukah anda memiliki anak kembar tidak semudah yang disangka? Ia juga mengundang kehamilan berisiko.

1. Kembar seiras berasal dari satu telur yang bersenyawa dengan satu sperma. Mereka akan mempunyai jantina yang sama dan wajah yang serupa.

2. Kembar tidak seiras berasal daripada telurtelur yang disenyawakan oleh sperma yang berbeza. Ia mungkin mempunyai jantina yang berbeza atau sama.

3. Pengambilan ubat kesuburan meningkatkan risiko mendapat anak kembar. Clomid memberikan 10 peratus risiko manakala Gonal F memberikan risiko 30 peratus.

4. Ibu hamil kembar mempunyai lebih risiko untuk melahirkan bayi pra-matang, berlaku keguguran dan kejadian bayi cacat.

5. Bayi kembar biasanya mempunyai berat badan yang lebih kecil semasa dalam kandungan dan selepas lahir.

6. Kandungan kembar mempunyai lebih risiko untuk kematian bayi dalam kandungan, sama ada salah satu atau keduanya berkemungkinan berpunca daripada masalah uri, tali pusat terbelit, kecacatan dan lain-lain.

7. Vanishing Twin adalah istilah yang digunakan untuk menggambarkan kandungan kembar yang tiba-tiba hilang dan menjadi satu. Ia selalunya terjadi pada awal kehamilan iaitu enam hingga tujuh minggu dan cuma dikesan melalui ujian ultrasounds.

8. Ibu yang hamil anak kembar lebih berisiko untuk mengalami preeklampsia, iaitu satu keadaan penyakit darah tinggi yang serius dan juga masalah kencing manis.

9. Disebabkan oleh saiz uri yang lebih besar, ibu hamil kembar lebih berisiko untuk mendapat placenta previa, di mana uri berada pada kedudukan bawah yang boleh memberikan pendarahan faraj semasa hamil.

10. Ibu sering mendapat morning sickness yang berganda daripada biasa dan sakit-sakit semasa hamil yang lebih kerap dan teruk berbanding kandungan biasa.

11. Seseorang wanita berpeluang untuk hamil kembar lebih tinggi sekiranya mempunyai genetik kelahiran anak kembar.

12. Wanita hamil kembar memerlukan lebih banyak pengambilan makanan berkhasiat, vitamin tambahan dan zat berbanding kandungan tunggal kerana anda akan lebih kerap mendapat anemia iaitu masalah kekurangan sel darah merah.

13. Kenaikan berat badan berlaku lebih cepat, akibatnya ibu mudah sakit punggung, sesak nafas, rasa nyeri pada perut dan sembelit.

14. Penambahan beban pada jantung, paru-paru dan buah pinggang mengakibatkan anda cepat berasa penat.

15. Ibu lebih berisiko untuk menjalani kelahiran secara pembedahan ceasarean kerana bayi kembar lebih cenderung berada dalam kedudukan tidak normal kerana saiz yang lebih kecil.

16. Ibu kembar lebih kerap mendapat risiko tumpah darah selepas melahirkan sama ada kelahiran melalui pembedahan caesarean mahupun kelahiran normal.

17. Pastikan banyak minum air masak untuk mencegah dehidrasi.

18. Banyakkan berehat seperti sering berbaring agar aliran darah ke plasenta meningkat dan pertumbuhan janin lebih cepat.

19. Dapatkan sokongan positif daripada mereka yang berpengalaman mengandung, melahirkan dan membesarkan anak kembar.

20. Gandakan bajet. Persiapkan mental anda untuk menghadapi perbelanjaan yang berganda bila si kembar lahir. Jadi, sebaik tahu anda bakal menimang anak kembar, mulalah menabung untuk keperluannya kelak.

ATASI ANAK KENCING MALAM


“Mama, Aiman terkencing atas katil.” Adoi, bila dengar si kecil memberitahu ayat tersebut sebaik bangun tidur, rasa macam nak menjerit pun ada. Macam mana agaknya hendak mendidik anak supaya jangan kencing malam di atas katil?

Kencing malam atau ‘bedwetting’ ialah kencing tidak disengajakan pada waktu malam di atas katil di kalangan kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun.

Masalah kencing malam, atau istilah perubatannya enuresis adalah perkara normal bagi kanak-kanak . Biasanya selepas kanak-kanak berumur lima atau enam tahun mereka akan berhenti tabiat tersebut.

Bagaimanapun dari segi istilah, jika kanak-kanak itu selalu kencing malam tanpa sebab yang pasti ia dinamakan sebagai primary enuresis.

Tetapi jika masalah kencing malam hanya berlaku sesekali iaitu apabila kanak-kanak terlalu aktif bermain di siang hari menyebabkan dia penat, ada masalah emosi seperti sedih dan marah atau waktu tidur yang berubah, ia dinamakan secondary enuresis.

Namun jika berterusan tanpa ada tanda mahu berhenti, ia satu penyakit yang mesti dirawat kerana bimbang ia ada kaitan dengan masalah saraf tunjang, jangkitan kuman pada air kencing, diabetes atau buah pinggang.

Apakah punca kencing malam?

 Menurut Pakar Kanak-Kanak, ada beberapa faktor utama berkait rapat dengan kencing malam. Antaranya keturunan, kelewatan dalam mencapai tahap kematangan untuk pengawalan pundi kencing dan kurangnya penghasilan hormon antidiuretik (ADH) ketika tidur.

Dikatakan juga kanak-kanak yang mempunyai masalah kerap kencing malam disebabkan ruang pundi kencing mereka bersaiz kecil.

Kurang penghasilan hormon yang dipanggil vasopressin semasa tidur.Vassopressin adalah penting untuk mengurangkan penghasilan kencing di waktu malam.

Tip mengatasi

*Percaya atau tidak, antara kaedah mengatasi tabiat kencing malam di kalangan kanak-kanak adalah dengan menggunakan hipnosis. Kajian tersebut telah diterbitkan dalam Jurnal Persatuan Perubatan Norway dan secara jelas mengatakan, ia adalah antara rawatan berkesan menangani masalah kencing malam yang kronik.

*Elakkan memberi anak minum susu atau air dalam masa dua atau tiga jam sebelum mereka tidur.

*Ajar anak disiplin membuang air kecil sebelum mereka tidur.

*Sekiranya sedang melatih anak bebas lampin, kejutkan anak untuk bangun dan membuang air kecil selepas dua atau tiga jam mereka tidur. Lama-kelamaan mereka akan terbiasa dengan rutin ini.

*Jika anak tidur sendirian di bilik mereka, pastikan laluan ke bilik air diterangi lampu dan mudah untuk mereka bangun di tengah malam untuk buang air.

*Jangan marah atau memalukan mereka akan perbuatan tersebut. Mereka bukan sengaja melakukan perkara itu. Sebaiknya beri sokongan kepada mereka.

*Beritahu anak mengapa mereka tidak boleh buang air di atas katil. Ajar mereka tentang kebersihan, hukum kencing sebagai najis dan sebagainya.

*Cara psikologi seperti sistem ganjaran dan penghargaan mungkin dapat membantu. Setiap kali mereka berjaya tidak kencing malam, berikan pujian atau penghargaan supaya mereka lebih bersemangat untuk memperbaiki diri.

*Untuk mengelakkan tilam basah dan berbau alas tilam dengan plastik atau pad yang lebar seperti yang selalu digunakan di hospital. Secara tidak langsung mungkin anak rasa tidak selesa dan berazam untuk tidak mahu kencing malam.

*Banyak bersabar dan sentiasa berfikiran positif. Bukan mudah hendak menghentikan tabiat kencing malam. Ia memakan masa dan memerlukan kesabaran, jadi berilah masa dan peluang kepada anak.